fb fb fb fb fb

SPRM rakam keterangan isteri, dua anak Tun Daim serta Ismail Sabri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Isteri kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai'mah Abdul Khalid, serta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin Daim hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi merakam keterangan, hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SPRM, ketiga-tiga individu berkenaan dipanggil memberi keterangan berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara bawah nama syarikat kepunyaan mereka yang terkait dengan siasatan terhadap Tun Abdul Daim bin Zainuddin.

"SPRM ingin menjelaskan bahawa satu Notis telah diserahkan kepada Tun Daim Zainuddin di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun tahun lau manakala Notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga telah diserahkan kepada ahli keluarga beliau.

"Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember tahun lalu, siasatan terhadap Tun Abdul Daim bin Zainuddin ini telah bermula pada Februari tahun lepas berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun siasatan terhadap aset milik Tun Daim Zainuddin masih berjalan.

Dalam pada itu, SPRM juga merakamkan keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana bernilai RM700 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI