fb fb fb fb fb

PDRM terima 75 laporan berkaitan 'Langkah Dubai'

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

SHAH ALAM, 10 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 75 laporan berkaitan gerakan 'Langkah Dubai' yang didakwa bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada jumlah itu 31 laporan adalah daripada individu dalam kalangan ahli politik, manakala 44 lagi melibatkan orang awam.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kesemua laporan itu diterima di seluruh negara setakat pukul 7.00 pagi tadi.

"Kita akan panggil individu terlibat bagi membantu siasatan kes berkenaan yang dijalankan bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, iaitu cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang media di sini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan laporan polis diterima berkenaan rakaman video beberapa individu yang tular berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Perkara itu dikhuatiri mendatangkan kegusaran masyarakat selain mengganggu ketenteraman awam.

Selain itu polis turut menyiasat dakwaan berkenaan beberapa ahli Parlimen yang dibayar untuk menyokong gerakan pertukaran kerajaan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI