PUTRAJAYA, 21 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai melakukan siasatan kes melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
SPRM melalui satu kenyataan media hari ini berkata, siasatan yang bermula sejak Mac lalu sudah dilengkapkan dengan mengumpulkan bukti-bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan.
"Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei lalu untuk kajian dan arahan selanjutnya," katanya.
(Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali/FOTO BERNAMA)
Terdahulu media melaporkan, tiga orang peguam memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain, bagi menuntut perisytiharan siasatan yang dijalankan oleh SPRM terhadap Datuk Mohd Nazlan tidak berperlembagaan.
Ketiga-tiga peguam tersebut ialah Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai, selaku plaintif memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, agensi terbabit dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Mohd Nazlan hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendapati bekas perdana menteri bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.