PUTRAJAYA, 20 Februari – Satu nota kerjasama dimeterai antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara (JAN) untuk memantapkan lagi usaha membanteras rasuah dan mempertingkatkan tatakelola agensi kerajaan.
Menerusi satu kenyataan, kerjasama itu juga bertujuan memperbaharui bentuk kerjasama yang telah termeterai oleh SPRM dan JAN sejak tahun 2012.
"Nota Kerjasama baharu ini memberi tumpuan kepada skop kerjasama meliputi aspek program perkongsian maklumat dan pengetahuan serta latihan antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Akademi Audit Negara (AAN).
"Instrumen kerjasama tersebut penting untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dan persefahaman yang lebih relevan agar usaha pembangunan modal insan pegawai dan pembanterasan rasuah termasuk perihal tatakelola agensi-agensi Kerajaan dapat dipertingkatkan dengan berkesan," kata kenyataan itu.
Nota kerjasama itu ditandatangani Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersama Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam ucapannya berkata nota kerjasama berkenaan akan memberi impak yang tinggi terutamanya membantu SPRM menyokong usaha kerajaan ke arah “Negara yang berintegriti dan bebas rasuah”.
"Ini menggambarkan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada JAN untuk membantu SPRM dalam memerangi jenayah rasuah bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran, selain dapat mengenal pasti dan membantu mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran negara.
"SPRM akan terus mengorak langkah dengan penuh komitmen dan konsisten untuk membanteras amalan rasuah dalam sistem perolehan kerajaan, mengelakkan dari ketirisan dan memastikan perolehan kerajaan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," kata Azam.
Melalui kerjasama tersebut, SPRM dan JAN akan melaksanakan perkongsian maklumat secara berterusan bagi mengukuhkan penglibatan kedua-dua pihak.
Ini terutamanya dalam pengesanan awal segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang boleh menjejaskan imej kerajaan, mengancam kesejahteraan masyarakat, melunturkan nilai-nilai integriti, menghalang perkembangan dan pembangunan sosial, ekonomi serta politik negara.
Dalam pada itu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam ucapannya berharap nota kerjasama itu dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama dua hala kedua-dua institusi.
"SPRM dan JAN adalah dua institusi utama negara yang mempunyai hubungan, peranan dan tanggungjawab yang saling berkait.
"Oleh itu, latihan bersama akan dirangka dan dilaksanakan oleh AAN dan MACA secara kerjasama bersama dalam usaha meningkatkan kompetensi dan kepakaran pegawai kedua-dua pihak secara berterusan," kata Wan Suraya.
Tambah Wan Suraya, SPRM dan JAN juga boleh bekerjasama membantu pegawai kedua-dua agensi yang berminat untuk mengambil kelayakan profesional lain berkaitan pengauditan seperti Persatuan Akauntan bertauliah (ACCA) dan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (CFE).
Beliau berkata, pemeteraian nota kerjasama itu juga akan membolehkan kerjasama yang wujud diselaraskan secara sistematik antara pihak-pihak yang terlibat.