fb fb fb fb fb

Label mencurigakan, Kastam rampas daging babi sejuk beku bernilai RM2.7 juta

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail / Foto RTM

PELABUHAN KLANG, 20 Februari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 96,000 kilogram daging babi sejuk beku dianggarkan bernilai RM2.7 juta yang cuba diseludup ke negara ini.

Rampasan membabitkan empat kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara, Selangor pada 13 Februari lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail, hasil pemeriksaan menemui daging babi sejuk beku dipercayai tidak mempunyai permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Modus operandi yang digunakan oleh pihak sindiket adalah dengan mengikrar tidak benar dagangan sebagai 'Furniture Accessories' melalui Borang Manifes bagi mengelakkan dikesan oleh pihak JKDM".

Beliau menjelaskan demikian dalam sidang media di Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.

Tambah beliau siasatan lanjut mendapati kontena terbabit dari Hong Kong, namun label terdapat pada barang sejuk beku itu dari Brazil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, JKDM Zon Tengah telah merampas barangan berupa televisyen dan kipas siling termasuk cukai berjumlah RM1.1 juta.

Rampasan televisyen dibuat selepas pemeriksaan ke atas satu kontena di Pelabuhan Utara dan mendapati ia tidak mempunyai kelulusan SIRIM Berhad.

Sebanyak 644 unit televisyen dirampas dengan nilai dagangan RM500,000

Pemeriksaan juga mendapati kontena diisytiharkan sebagai batuan marmar bagi mengelak dikesan.

Manakala bagi rampasan kipas siling pula, kastam melakukan pemeriksaan ke atas kontena dan menemui 1,990 kipas siling di mana pengimport gagal mengemukakan permit dari Suruhanjaya Tenaga.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD