fb fb fb fb fb

SPR tiada cadangan perluas undi pos untuk pengundi Sabah, Sarawak di Semenanjung

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bercadang memperluas kategori pengundi pos kepada pemilih Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia buat masa ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pengundi digalakkan memohon pertukaran bahagian pilihan raya berdasarkan tempat tinggal terkini untuk memudahkan urusan pengundian.

"Kemudahan undi pos hanya diberi kepada pengundi dalam kategori ahli dan kakitangan SPR, petugas pilihan raya, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) yg bertugas pada hari undi awal, pengamal media yang bertugas membuat liputan pilihan raya di luar kawasan dan kakitangan bagi sembilan agensi yang bertugas pada hari mengundi," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Labuan, Datuk Rozman Isli pada sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.


(Foto fail)

Tambah beliau, Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menetapkan, salah satu kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih adalah bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya.

SPR menentukan bahagian pilihan raya pemilih berdaftar berdasarkan alamat pemastautin pemilih seperti yang didaftarkan dalam kad pengenalan dan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.

Media Baharu