fb fb fb fb fb

Kerajaan benarkan pengeluaran khas KWSP RM10,000

PUTRAJAYA, 16 Mac- Kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkannya berkata, pengeluaran khas tersebut merupakan jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan rakyat.

"Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP, justeru pada hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya.

(Foto fail)

Beliau turut menyeru pencarum supaya membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan.

"Walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak," katanya lagi.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

Media Baharu