fb fb fb fb fb

Model pengurusan bencana Indonesia, Filipina, penanda aras penstrukturan semula NADMA

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggunapakai model pengurusan bencana dilaksana beberapa negara, antaranya Indonesia dan Filipina sebagai penanda aras dalam membuat penstrukturan semula organisasinya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) - Datuk Mastura Mohd Yazid memaklumkan, langkah pengukuhan pengurusan bencana negara wajar mengambil kira praktikaliti di negara lain, yang mempunyai mekanisme pengurusan bencana hampir sama.

"Ini termasuk karakteristik masyarakat pelbagai budaya dan agama, risiko bencana dan tahap kompetensi serta teknologi pengurusan bencana.

"Berikut adalah perbandingan perjawatan 'National Disaster Management Office' (NDMO) di negara-negara ASEAN, Badan Nasional Penanggulangan Bencana di Indonesia misalnya mempunyai 630 kakitangan, tidak termasuk 33 cawangan di provinsi dan 12 cawangan daerah.

" 'National Disaster Risk Reduction and Management Council' (NDRRMC) di Filipina pula memiliki 900 pegawai sokongan," " katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berhubung perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) - Datuk Mastura Mohd Yazid menjawab soalan tambahan
Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) di Dewan Rakyat hari ini)

Beliau berkata model tadbir urus pengurusan bencana di bawah satu agensi peneraju telah menjadi amalan kebanyakan negara, dengan 140 negara ketika ini mempunyai agensi bencana masing-masing, menurut 'United Nations Office for Disaster Risk Reduction'.

Namun begitu, Mastura berkata Malaysia semakin jauh ketinggalan dibandingkan banyak negara lain melibatkan aspek bilangan pegawai, pakar dan pegawai berpengalaman dalam NADMA.

Katanya, struktur organisasi NADMA yang hanya memiliki 94 perjawatan serta tidak mempunyai kakitangan di peringkat negeri dan daerah telah menyukarkan koordinasi dan penyampaian maklumat secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.

Untuk itu, katanya, Jemaah Menteri pada Disember lalu memutuskan supaya struktur NADMA diteliti semula bagi memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara.

Katanya, Perdana Menteri juga telah beberapa kali menyuarakan keperluan agar agensi itu diwujudkan di negeri dan daerah.

"Pasukan dan mekanisme serta perundangan yang kuat juga harus ada dalam memastikan supaya semua dasar pewartaan dan undang-undang membabitkan pengurusan bencana tidak saling bercanggah dan demi mengelak pertikaian perundangan seterusnya," katanya.

Media Baharu