
KUALA LUMPUR, 11 November – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkukuh langkah keselamatan siber sistem digitalnya susulan ancaman keselamatan yang dikenal pasti baru-baru ini.
- Gangguan capaian ditangani segera untuk memastikan kesinambungan pengurusan pilihan raya tanpa menjejaskan komitmen SPR.
- Tindakan penyelarasan dengan NACSA, MKN dan JDN dilaksanakan untuk memperkukuh keselamatan dan mitigasi berterusan.
- Pengundi disediakan saluran alternatif: portal, aplikasi MySPR Semak, pusat panggilan 03-8892 7218, serta barung semakan pada hari mengundi.
Kenyataan SPR memaklumkan, gangguan capaian terhadap beberapa sistem digital SPR itu ditangani segera bagi memastikan keselamatan sistem serta kesinambungan pengurusan pilihan raya, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.
SPR berkata, tindakan segera telah diambil menerusi penyelarasan dan kerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Jabatan Digital Negara (JDN).
“Langkah keselamatan tambahan dan mitigasi turut dilaksanakan secara berterusan bagi mencegah sebarang ancaman serta memperkukuh daya tahan sistem.
“SPR juga memberi jaminan gangguan tersebut tidak menjejaskan komitmen suruhanjaya berkenaan untuk memastikan kelancaran urusan pengurusan pilihan raya,” jelasnya.
Tambah SPR, bagi memudahkan pengundi Melaka dan Sarawak membuat semakan pusat mengundi, beberapa saluran alternatif turut disediakan.
“Pengundi boleh membuat semakan menerusi portal rasmi atau aplikasi MySPR Semak.
“Selain itu, semakan juga boleh dibuat menerusi Pusat Panggilan SPR di talian 03-8892 7218, setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad, bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam.
“Pengundi juga boleh hadir ke barung semakan pusat mengundi pada hari mengundi,” ujar kenyataan sama.
SPR menasihatkan pengundi supaya membuat semakan lebih awal dan menyimpan tangkap layar atau maklumat pusat mengundi bagi melancarkan urusan pada hari pengundian.
SPR turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan sistem pilihan raya negara kekal selamat, cekap, teratur dan telus.