
SEREMBAN, 11 November – Jumlah pekerja belia yang menerima pentauliahan profesionalisme meningkat sebanyak 565.9 peratus, daripada 41 orang pada 2022 kepada 273 orang pada 2025.
- Seramai 655 pekerja belia ditauliahkan antara 2022 hingga 2025, merangkumi 606 Pegawai Belia dan Sukan serta 49 pemimpin NGO dan alumni KBS.
- Pentauliahan menyelaraskan gerak kerja dengan perkembangan semasa serta meningkatkan pelaksanaan program dan kerjasama antara agensi.
- KBS komited memperluas akses pensijilan kemahiran dan mengiktiraf pengalaman belia melalui PPT berasaskan NOSS, merangkumi SKM Tahap 3, DKM Tahap 4, DLKM Tahap 5.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, secara keseluruhan, seramai 655 pekerja belia ditauliahkan bagi tempoh 2022 hingga 2025, merangkumi 606 Pegawai Belia dan Sukan serta 49 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan alumni Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Dengan adanya pentauliahan ini, gerak kerja akan menjadi lebih selaras dengan perkembangan semasa. Dari segi program, pelaksanaan kerja dan kerjasama antara agensi, kita dapat melihat peningkatan serta penambahbaikan dari tahun ke tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Profesionalisme Kerja Belia Kali Ketiga 2026 di sini.
Sebanyak 273 pekerja belia menerima pentauliahan profesionalisme kerja belia membabitkan pemimpin belia, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai belia dan sukan.
Dalam pada itu, KBS komited memperluas akses kepada pensijilan kemahiran serta meningkatkan pengiktirafan terhadap pengalaman dan kompetensi pekerja belia di negara ini.
Menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), pengalaman dan kemahiran pekerja belia dinilai berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), merangkumi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5.