PUTRAJAYA, 20 Oktober- Suruhanjaya Pilihan Raya, (SPR) melantik 222 orang pegawai pengurus pilihan raya, bagi urusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, mereka turut dibantu seramai 1,264 orang Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
"Manakala bagi tujuan membantu aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen SPR telah menubuhkan 625 Pasukan Petugas Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang turut dianggotai oleh wakil daripada pihak polis PDRM, PBT dan wakil-wakil calon yang bertanding," katanya di sini.
Pelaksanaan pilihan raya itu akan melibatkan peringkat parlimen di seluruh negara dan negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak, Pahang dan Perlis.
Turut diadakan serentak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
Abdul Ghani turut memaklumkan tarikh tutup permohonan undi pos luar negara dan dalam negara adalah; bagi kategori 1A- petugas pilihan raya ahli SPR dan anggota polis, tentera dan petugas media, ditutup pada 2 November 2022.
Bagi kategori 1B-warganegara Malaysia yang berada di luar negara tarikh tutup pada 23 Oktober 2022 dan kategori 1C- agensi serta organisasi, tarikh tutup pada 26 Oktober 2022.
Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu Abdul Ghani memaklumkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK DUN N66 Bugaya adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober 2022.
“DPPR bagi PRU15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih, daripada jumlah itu, 20,905,366 adalah pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara," katanya.
Abdul Ghani berkata DPPR bagi PRU15 dijadual mula dijual pada 31 Oktober ini.