fb fb fb fb fb

SPR isytihar 12 Ogos sebagai tarikh mengundi PRU DUN ke-15

PUTRAJAYA, 5 Julai- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mengumumkan 12 Ogos 2023 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN ke-15).

Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media, sebentar tadi.

Pilihan raya kali ini hanya melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Oleh itu, SPR menetapkan Hari Penamaan Calon pada 29 Julai, kemudian diikuti tempoh berkempen selama dua minggu bermula 30 Julai sehingga pukul 11.59 malam pada 11 Ogos 2023.

Tarikh mengundi awal pula akan berlangsung pada 8 Ogos.

pc
(Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengadakan sidang media
berhubung PRU DUN Ke-15, hari ini)

"Urusan permohonan semua undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula 15 Jun 2023.

Tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media pada 26 Julai 2023, 1B warganegara Malaysia yang berada di luar negara pada 8 Julai 2023 dan 1C yang terdiri daripada agensi atau organisasi pada 11 Julai 2023," kata Abdul Ghani dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, 245 pegawai pengurus pilihan raya dan 740 penolong pegawai pengurus dilantik bagi melancarkan urusan pilihan raya berkenaan.

SPR juga menubuhkan 252 pasukan penguat kuasa pilihan raya yang turut diwakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding bagi tujuan pemantauan semasa tempoh berkempen.

Sebanyak 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 186 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan bagi pilihan raya kali ini.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRU DUN ke-15 kali ini melibatkan seramai 9,773,571 orang pemilih yang terdiri daripada 9,674,456 orang pengundi biasa, 49,660 orang tentera serta pasangan, 47,728 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 orang pengundi tidak hadir luar negara," jelasnya.

Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal SPR.

Media Baharu