fb fb fb fb fb

SPM diteruskan walaupun PRU Dewan Negeri Johor berlangsung

JOHOR BAHRU, 12 Februari - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berjalan seperti dijadualkan walaupun ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 berlangsung.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata KPM akan menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat mengundi,berikutan ia akan digunakan untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Pihaknya bagaimanapun, belum menerima permohonan rasmi daripada SPR untuk menggunakan sekolah sebagai pusat mengundi.

"Hampir sebahagian besar sekolah menengah itu biliknya digunakan untuk tujuan pengurusan SPM termasuk bilik isolasi, kuarantin dan sebagainya.

"SOP kita cukup lengkap, jadi kita mohon sebaiknya supaya tidak digunakan sekolah menengah ini sebagai pusat mengundi, untuk sekolah rendah tidak mengapa," katanya selepas menghadiri sesi libat urus bersama warga pendidik dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sini.

Tambahnya, jumlah pelajar sekolah yang sudah divaksin juga melebihi 90 peratus dan keadaan ini selamat untuk proses peperiksaan diadakan.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula 3 hingga 29 Mac depan.

Media Baharu