JOHOR BAHRU, 12 Februari - Sesi persekolahan akan diteruskan walaupun kes COVID-19 meningkat di seluruh negara.
Jelas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin setakat ini kes di sekolah masih terkawal dan prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan dengan pemantauan berterusan.
Data Kementerian Kesihatan turut mencatatkan jumlah kluster di sekolah yang kecil berbanding keseluruhan kes, dengan kebanyakannya melibatkan kategori satu dan dua.
"Di Kementerian Pendidikan kita bincang dengan Kementerian Kesihatan kita perlu melihat skop lebih luas bukan sahaja jumlah kes tetapi juga keadaan atau tekanan kpd sistem kesihatan pada masa ini.
"Seperti saya sebutkan tadi bahawa kita akan teruskan sesi persekolahan mengambil kira kadar vaksinasi seluruh negara," beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus bersama warga pendidik dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), di sini.
Radzi turut menyeru agar ibu bapa memberi kerjasama bagi melancarkan lagi program PICKids.
Tambahnya, KPM juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan semua pihak di sekolah sudah divaksin.