fb fb fb fb fb

Pengambilan mana-mana vaksin penggalak lebih baik daripada tiada - Khairy

KUALA LUMPUR, 12 Februari - Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan penggunaan vaksinasi dos pengalak Pfier-BioNTech atau AstraZaneca untuk COVID-19, namun mana-mana vaksin penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya.

Menterinya Khairy Jamaluddin dalam ciapan di akaun Twitternya berkata walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan dos penggalak Pfizer atau AstraZeneca untuk memberi tambahan perlindungan yang terbaik, ada masyarakat yang masih meminta pilihan.

Khairy melalui Twitternya turut berkongsikan kenyataan dikeluarkan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang menyatakan vaksin Sinovac akan ada di semua pusat vaksinasi Offsite (PPV Offsite) di bawah Program Imunisasi COVID-19 (PICK) secara percuma bermula Isnin ini.

"Mereka yang layak untuk mendapatkan dos penggalak dan mahu mendapatkan vaksin jenis Sinovac boleh melihat kepada senarai PPV Offsite di laman sesawang ProtectHealth," menurut kenyataan ProtechHealth itu.

Sementara itu dalam satu ciapan berasingan pagi ini, Khairy merakamkan ucapan tahniah kepada Sarawak dan Melaka, kerana peratusan tinggi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

"Tahniah kepada Sarawak dan Melaka, kerana laju memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Terima kasih kerana memastikan anak-anak anda selamat dari Covid-19," katanya.

Sehingga semalam, 7.7 peratus kanak-kanak di Sarawak dan 6 peratus kanak-kanak di Melaka sudah mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Media Baharu