KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubung negeri-negeri Pantai Timur sepanjang 665 kilometer kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 27.19 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak optimis walaupun berlaku sedikit kelewatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, jajaran Seksyen A hingga C1 merangkumi Kelantan hingga Selangor dapat disiapkan pada Disember 2026.
"Untuk jajaran dari negeri Kelantan, Terengganu sehingga ke negeri Pahang dan Selangor ini biasa kita panggil jajaran seksyen A, B dan seksyen C1 akan siap pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.
"Kita alami kelewatan tapi kita 'kejar balik'. Secara keseluruhannya kita boleh capai kemajuan lebih baik pada tahun ini," katanya selepas menghadiri program Jalinan Kasih Kastam di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas, di sini.
Tambahnya, perkembangan semasa itu juga dilihat tidak akan menjejaskan kos pembinaan ECRL yang kekal RM50.272 bilion seperti dipersetujui kerajaan sebelum ini.
“Proses pengambilan tanah juga sedang berjalan lancar dan dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2023. Kebanyakan di kawasan jajaran utama pengambilan tanah telah selesai," katanya.