fb fb fb fb fb

SPM 2024: 14,179 calon peroleh semua A

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan ketika ditemui media di Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA, 24 APRIL – Seramai 14,179 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A, A- dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 11,713 calon pada tahun 2023.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, berkata pencapaian itu mewakili 3.7 peratus daripada 378,606 calon yang hadir menduduki peperiksaan tahun ini.

Menurut beliau, pencapaian calon SPM 2024 amat membanggakan berdasarkan indeks Gred Purata Keseluruhan (GPK) yang semakin mengecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Nilai GPK 2024 dicatatkan pada 4.49 mata, berbanding 4.60 mata pada tahun 2023, menunjukkan penurunan sebanyak 0.11 mata.

"Daripada keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan, seramai 86,040 calon atau 22.7 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya gred C (Kepujian) dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 83,112 calon (22.3 peratus) pada tahun sebelumnya," katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 hari ini.

 Sementara itu, 136,791 calon atau 36.1 peratus lulus sekurang-kurangnya gred E dalam semua subjek, juga mencatat peningkatan berbanding 131,489 calon (35.2 peratus) pada 2023.

Tambah beliau, semua calon boleh mendapatkan keputusan SPM 2024 bermula 10.00 pagi hari ini di sekolah masing-masing.

Manakala calon persendirian di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berdekatan. Semakan juga boleh dibuat secara dalam talian di myresultspm.moe.gov.my atau melalui SMS sehingga 30 April, pada pukul 6.00 petang.

Menurut beliau, seramai 402,918 calon telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan bertulis SPM yang berlangsung dari 2 Januari hingga 6 Februari di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara.

BERITA BERKAITAN

 

GRACE AISYAH KEDAYAN