fb fb fb fb fb

SPM 2022: 47 calon peroleh A dalam semua mata pelajaran di Perlis

(FOTO RTM)

KUALA PERLIS, 8 Jun-Prestasi Gred Purata Negeri (GPN) Perlis dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada pada paras terbaik selepas mencatatkan gred 4.82 bagi keputusan peperiksaan SPM 2022 berbanding 4.99 bagi tahun 2021.

Seramai 47 calon SPM 2022 telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 39 calon bagi SPM 2021.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri bagi Sektor Pembelajaran, Ayub Ahmad berkata, seramai 2,923 calon menduduki peperiksaan SPM 2022 berbanding 3,029 calon pada SPM 2021 dengan peratus layak mendapat sijil sebanyak 93.33 peratus.
 
Tambah Ayub lagi, 9 buah sekolah mengekalkan pencapaian 100  peratus calon layak mendapat sijil, antaranya SMK Derma, SMK Agama Perempuan Kangar, SMK Dato Sheikh Ahmad dan SMK Syed Hassan.

"Saya berasakan pencapaian kali ini paling baik pernah kita catatkan berbanding tahun-tahun sebelumnya", katanya kepada media selepas mengumumkan keputusan SPM 2022 bagi negeri perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis.

Sementara itu, beberapa pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pada SPM kali ini melahirkan rasa keterujaan di atas kejayaan yang dikecapi.

Pang Joe Wen, antara pelajar cemerlang SPM Perlis berkata pengorbanan para guru dan ibu bapa antara perkara yang memberi motivasi buat kejayaannya.

"Sekolah sentiasa membuat program apabila tarikh peperiksaan SPM semakin hampir.

"Para guru juga turut berkorban masa mengadakan kelas tambahan juga sokongan dan semangat dari kedua-dua ibu bapa saya", katanya.

Sementara itu, Nur Hawa Balqis Mohammad Ros pula menyifatkan motivasi bagi berjaya yang dipegang selama ini menjadi azimat untuk berjaya.

"Cuba motivasikan diri agar tidak terlalu kecewa ketika mendapat keputusan yang buruk.

"Jangan menyerah kalah. Paling penting adalah bijak menguruskan masa agar kita tidak terleka", katanya kepada RTM
 


(Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri bagi Sektor Pembelajaran, Ayub Ahmad)

Media Baharu