fb fb fb fb fb

Speaker DUN Johor serah warta pembubaran DUN kepada SPR

JOHOR BAHRU, 23 Januari - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menyerahkan warta pemasyhuran memansuhkan Dewan Negeri Johor ke-14 bertarikh 22 Januari 2022 kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon petang tadi.

Penyerahan warta itu sekali gus membolehkan SPR melaksanakan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri, PRU DUN Johor dalam tempoh 60 hari.

Suhaizan sebelum itu memaklumkan, beliau menerima warta tersebut daripada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pagi tadi.

"Proses seterusnya pelantikan Menteri Besar, ahli jawatankuasa kerajaan negeri dan sidang dewan pertama nanti akan melantik speaker, jadi sepanjang waktu ini saya masih lagi speaker sampai tempoh pelantikan baru," kata Suhaizan kepada RTM.

Sementara itu, Nor Nekman berkata SPR negeri akan menunggu keputusan SPR pusat berhubung pelaksanaan PRU DUN Johor.

"Setakat ini, kita tidak dimaklumkan apa-apa lagi berkenaan tarikh rasmi, insya-Allah kita akan maklumkan dari semasa ke semasa nanti," kata Nor Nekman.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum DUN Johor.

 

Media Baharu