fb fb fb fb fb

Lagi penyu agar ditemui mati di Terengganu, akibat tertelan plastik

MARANG, 23 Januari - Seekor penyu agar betina seberat 60 kilogram ditemui mati di Pantai Kelulut, Marang pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata penyu yang berusia antara 18 hingga 20 tahun itu dipercayai mati akibat tertelan plastik.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan kakitangan Cawangan Taman Laut, Pengurusan dan Perlindungan Sumber Negeri Terengganu menjumpai gumpalan plastik dalam mulut penyu berkenaan," kata Ruzaidi kepada media.

"Aduan mengenai penemuan bangkai penyu itu dibuat oleh orang awam pada pukul 10.30 pagi," tambahnya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan penyu berkenaan sudah mati beberapa hari di laut berdasarkan keadaan bangkai yang hampir reput dan berbau.

Sepanjang Januari ini, sebanyak 11 kes kematian penyu telah direkodkan pihaknya, manakala sebanyak 51 kes kematian reptilia berkenaan telah direkodkan di seluruh Terengganu tahun lalu.

Semalam, penyu agar jantan dewasa ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Pulau Kapas di daerah sama, kira-kira pukul 11 pagi.

Penyu itu dipercayai lemas akibat terperangkap pada pukat.

 

Media Baharu