fb fb fb fb fb

Abaikan khabar angin mengenai Dr Mahathir - Marina

 

KUALA LUMPUR, 23 Januari - Keluarga Tun Dr Mahathir menasihati orang ramai agar mengabaikan khabar angin yang tersebar mengenai keadaan bekas Perdana Menteri itu.

Datin Paduka Marina, melalui satu kenyataan media berkata, hal itu kerana Institut Jantung Negara (IJN) dan keluarganya akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa.

"Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih," ujarnya.

Tambah Marina, mereka sekeluarga telah berinteraksi dengan ayahnya yang masih dirawat di pusat perubatan itu, yang kini memasuki hari keempat.

"Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di dalam dan luar negara yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin selain orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh," katanya.

Semalam, Marina dalam kenyataan ringkasnya memaklumkan perkembangan Dr Mahathir yang dilaporkan stabil dan memberi reaksi baik terhadap rawatan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berada di Unit Rawatan Koronari (CCU) sejak Khamis lalu.

Sebelum ini media melaporkan Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 16 Disember tahun lalu untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember tahun lalu.

Dr Mahathir sekali lagi dimasukkan ke IJN pada 7 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif sebelum dibenarkan pulang pada 13 Januari.

Media Baharu