fb fb fb fb fb

SPA tubuh gimnasium FitnessOne@SPA galak gaya hidup sihat penjawat awam

PUTRAJAYA, 6 Disember - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menubuhkan gimnasium FitnessOne@SPA bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan seimbang dalam kalangan penjawat awam yang terletak di Bangunan SPA Kompleks F di sini.

Pengerusi SPA, Tan Sri Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata penubuhan gimnasium itu dapat meransang semangat warga penjawat awam untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti senaman yang berterusan.

"Melalui senaman yang berterusan kita dapat mencegah penyakit yang berbahaya seperti masalah jantung, obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi dan banyak lagi.

"Senaman berterusan juga terbukti boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi terutamanya tekanan di tempat kerja," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

(Sesi bergambar bersama Fit Malaysia X,
Tiga dari kanan - Pengerusi SPA Tan Sri Datuk Seri Zainal Rahim Seman,
Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jana Sathiran Muniayan/FOTO SPA)

Katanya penubuhan gimnasium itu juga hasil kerjasama sepenuhnya dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta tiga lagi rakan strategiknya iaitu Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Penubuhan FitnessOne@SPA turut membina jaringan kerjasama SPA dengan ISN melalui penganjuran program “Fit Malaysia X” yang akan dimulakan pada tahun 2023.

"Program ini adalah untuk mengurangkan berat badan para peserta melalui pendekatan dan program Sains Sukan yang sepenuhnya. Saya difahamkan program ini akan mengambil masa selama 8 minggu dan ia akan dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih terlatih di bawah pengawasan ISN," ujarnya.

Selain itu, para pelajar Sains Sukan juga akan menerima manfaat yang sama untuk mengadakan latihan industri di gimnasium itu.

FitnessOne@SPA mempunyai tiga ruang aktiviti, ruang kardio dan ruang weight dengan peralatan seperti Treadmill, Cross Trainer, Spinning Bike, Cermin, Smart TV, PA System, Speaker dan kelengkapan lain.

"SPA berharap inisiatif penubuhan FitnessOne@SPA dapat memberi impak yang positif dan suasana baharu untuk kemudahan dan keselesaan dalam menjalani gaya hidup sihat bagi warga SPA dan Kompleks F keseluruhannya.," katanya lagi.

Media Baharu