fb fb fb fb fb

SPA laksana temu duga 'walk-in' jawatan Jururawat Gred U5 di Johor

FOTO Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA)

JOHOR BAHRU, 1 November - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengambil pendekatan lebih progresif dengan melaksanakan sesi temu duga bersasar secara walk-in bagi jawatan Jururawat Gred U5 di Johor Bahru, bagi memperluas peluang pekerjaan dalam bidang kejururawatan.

Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani berkata, pengambilan itu dilaksanakan menerusi lantikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat ini, sesi temu duga berkenaan merekodkan penyertaan lebih 100 calon yang memiliki kelayakan Diploma Kejururawatan diiktiraf kerajaan serta telah melepasi skor Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) – Ujian Psikometrik.

“Sekiranya mereka melepasi syarat-syarat yang telah pun ditetapkan dan berjaya dalam temu duga, mereka akan ditawarkan jawatan jururawat dalam tempoh terdekat. Ini satu peluang terbaik yang wajar direbut oleh belia dan beliawanis. Kerjaya jururawat kini tidak lagi terhad kepada wanita, hari ini kita turut ada jururawat lelaki. Ini antara nilai tambah yang kita bawa melalui program Kembara Kerjaya di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kembara Kerjaya MADANI SPA Johor Bahru yang berlangsung di Galeria Kotaraya, Johor Bahru.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani memaklumkan SPA menganggarkan purata kira-kira 30,000 kekosongan jawatan tetap dan kontrak perlu diisi setiap tahun, satu jumlah besar bagi perkhidmatan awam bawah pentadbiran Persekutuan.

“SPA hanya melaksanakan pengambilan bagi sekitar 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan penjawat awam. Jumlah keseluruhan penjawat awam kini sekitar 1.4 juta orang di seluruh negara. Baki pengambilan lain dibuat oleh agensi seperti Kementerian Pendidikan untuk guru, Angkatan Tentera Malaysia dan juga Polis Diraja Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini tiada skim perkhidmatan baharu diwujudkan, sebaliknya SPA sedang menstruktur semula sistem dengan menggabungkan beberapa skim sedia ada bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Program Kembara Kerjaya MADANI SPA Johor Bahru kali ini merekodkan kehadiran hampir 1,000 pengunjung yang hadir mencari peluang pekerjaan dalam sektor awam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE