fb fb fb fb fb

SOSMA: Dewan Rakyat tolak usul pelanjutan subseksyen 4(5)

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Dewan Rakyat menolak usul melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.

Subseksyen itu bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

(Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun)

"Ini keputusan undian belah bahagian untuk usul dikemukakan menteri. Yang bersetuju 84, yang tidak bersetuju 86, tidak hadir 50. Maka usul tidak dipersetujui," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun di Dewan Rakyat.

Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun saja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang, dalam penguatkuasaannya.

Had masa itu bagaimanapun, boleh disemak untuk dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Terdahulu Datuk Seri Hamzah berkata, tempoh penahanan 28 hari tidak mencukupi kerana kes disiasat di bawah SOSMA sangat rumit dan kompleks.

Lebih-lebih lagi jika membabitkan kumpulan pengganas dan jenayah terancang yang mempunyai rangkaian luas.

Media Baharu