fb fb fb fb fb

Sorok gula dan minyak masak paket, KPDN Kedah laung amaran kepada peniaga

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri Kedah

ALOR SETAR, 6 Februari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengeluarkan amaran kepada semua peniaga supaya tidak menyorok barangan kawalan terutama gula dan minyak masak peket bersubsidi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang.

Jelas Muhammad Nizam, pihaknya akan terus memantau semua premis perniagaan di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, KPDN Kedah belum menerima sebarang aduan berhubung kesalahan aktiviti menyorok gula pada tahun ini.

“Janganlah kita sorok barangan kawalan, ikut peraturan seperti apa yang KPDN tetapkan dan kita akan pantau dan tindakan tegas akan diambil," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri Kedah di sebuah pasar raya di Alor Setar.

Seramai 176 penguat kuasa KPDN akan melakukan pemantauan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Peniaga yang didapati menyorok barang kawalan boleh disiasat bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi 1 juta ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua, hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE