fb fb fb fb fb

Ganjaran RM20,000 menanti jika salur maklumat kes bunuh Zayn Rayyan

Datuk Seri A. Thaiveegan (kanan) membuat pengumuman membabitkan kes bunuh Zayn Rayyan

SHAH ALAM, 6 Februari- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada mana-mana individu yang membantu kepada penangkapan suspek kes bunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Timbalan Pengerusi MCPF Selangor, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, ganjaran tersebut bagi membantu kes tersebut yang telah berlarutan lebih dua bulan lalu.

Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada polis.

“MCPF Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada polis Selangor untuk menangkap suspek-suspek dan boleh berjaya dituduh dengan jayanya,"katanya.

Datuk Seri A. Thaiveegan membuat pengumuman itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Pada 6 Disember lalu, kanak-kanak autistik Zayn Rayyan, 6, disahkan dibunuh selepas penemuan mayatnya di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Namun sehingga kini, polis belum menemui sebarang petunjuk yang menjurus ke arah tangkapan suspek yang terlibat dalam kes itu.

Sementara itu, sepanjang siasatan, polis telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,913 unit rumah dengan memeriksa 5,786 individu selain 216 kenderaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis turut mengambil 243 keterangan dan melakukan pengimbasan terhadap 15 rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

“Polis juga telah mengambil 168 barang kes dan 262 sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA)serta 42 buah rumah telah dilakukan pemeriksaan forensik dengan penggunaan lapan ekor anjing pengesan (K9) sebanyak enam kali,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE