KUALA LUMPUR, 6 Februari - Seramai 6,559 pegawai dan anggota ditempatkan di seluruh negara bagi penugasan Op Selamat 21 sempena cuti Tahun Baharu Cina (TBC) bermula Khamis ini sehingga 13 Februari.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata susulan penugasan itu, kesemua cuti mereka dibekukan.
"Kita akan melaksanakan pertama tindakan penguatkuasaan dalam kesalahan-kesalahan lalu lintas dan juga memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan kedua kita buat pencegahan kes jenayah melibatkan penjagaan harta benda dan premis kediaman yang ditinggalkan sepanjang tempoh musim cuti dan perayaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini.
Tambah Mohd Azman, Sebanyak 18 lokasi 'hotspot' dan 46 kawasan 'blackspot' telah dikenal pasti di semua lebuh raya manakala 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi blackspot dikesan di negeri dan daerah.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dengan mengisi butiran penting sebelum meninggalkan kediaman ketika musim perayaan ini.