KUALA LUMPUR, 8 Februari- Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu di premis bermula 11 Februari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun katanya, daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan.
"Dengan pemansuhan ini, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod daftar masuk di pintu-pintu masuk premis masing-masing.
"Bagaimanapun sekiranya pemilik-pemilik premis masih ingin meneruskan pelaksanaan SOP pemeriksaan suhu dan buku rekod daftar masuk ini, kerajaan amat mengalu-alukan dan menggalakkannya," katanya pada sidang media khas sempena mesyuarat kuartet menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di sini pada Selasa.
Hishamuddin turut mengulas situasi berhubung pengunjung terutama warga emas yang tidak mempunyai telefon pintar untuk mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera.
Katanya, pemansuhan berkenaan perlu dilakukan bagi memastikan negara bergerak ke hadapan.
"Kalau kita baca buku rekod, macam-macam contengan ada, ini tidak menggambarkan keadaan sebenarnya. Jadi untuk bergerak ke hadapan lebih balik kita tumpukan tujuh tonggak seperti disebut sebelum ini.
"Kalau kita masih dalam takuk dahulu, pada masa sama kita lihat ke hadapan dengan pendekatan baharu, akhirnya orang akan keliru.
"Jadi suhu badan dan buku itu tidak menjadi pertimbangan kita lagi," katanya.