fb fb fb fb fb

Solidariti Palestin: Ketegasan PM Anwar di APEC angkat nilai keadilan sejagat - Menteri Agama

Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif APEC di San Francisco pada 15 November lalu/AFP

KUALA LUMPUR, 21 November- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan yang menyentuh isu rakyat Palestin.

Menterinya, Datuk Dr Naim Mokhtar berkata, ucapan tersebut telah menzahirkan kepada dunia tentang pendirian kukuh Malaysia yang konsisten bersolidariti bersama rakyat Palestin.

Merujuk kepada Persidangan Persidangan Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat baru-baru ini, ucapan Perdana Menteri juga telah mengangkat isu prinsip dan nilai keadilan sejagat yang mesti dijunjung oleh para pemimpin dunia.

"Penegasan yang diberikan Perdana Menteri amat ditunggu-tunggu memandangkan masyarakat dunia terutama umat Islam kini berada dalam kesedihan mengenangkan nasib rakyat Palestin terutama bayi, kanak-kanak dan wanita yang telah terkorban menjadi mangsa peperangan kejam oleh zionis Israel.

"(Justeru), seluruh masyarakat diseru menghayati semangat dari ucapan Perdana Menteri iaitu keamanan dunia adalah suatu yang amat didambakan oleh semua pihak," katanya dalam kenyataan.

Naim berkata, ia hanya boleh dicapai apabila setiap warga dan pemimpin negara bersama-sama berganding bahu menegakkan prinsip keadilan dan kebenaran serta tidak hipokrit.

Pihaknya juga berkeyakinan bahawa ucapan Perdana Menteri tersebut akan menyuntik keinsafan, keikhlasan dan keberanian para pemimpin dunia dalam mencari penyelesaian terbaik dan menghentikan segera kezaliman yang sedang berlaku di Gaza.

SITI AISHAH BINTI MD ISA