fb fb fb fb fb

PN dan PAS baru tersedar dari lena? Soal Mujahid

Lebih 1,000 menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya semalam/FOTO Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - "Cukup-cukuplah memberi alasan dan cuba membodohkan rakyat," kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyelar tindakan pemimpin PAS kononnya tidak mengetahui isu petisyen dua individu mencabar undang-undang syariah Kerajaan Negeri Kelantan.

Katanya, parti itu perlu menghentikan perbuatan menimbulkan tuduhan jahat terhadap kerajaan selari dengan amalan tagline mereka sendiri iaitu mengamalkan politik matang dan sejahtera.

“Perhimpunan diadakan parti itu hari ini yang kononnya berlatarkan perjuangan menyelamatkan undang-undang syariah telah bertukar menjadi medan bermain politik.

“Timbalan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) hari ini bukan sahaja mengeluarkan kenyataan mahu menawan Putrajaya, tetapi mendakwa dia ‘tidak tahu’ tentang kes ini sebelum ini. Kenyataan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi langsung tidak munasabah,” katanya.

Tambah Mujahid yang juga Pengerusi AMANAH Perak, PAS dan Perikatan Nasional (PN) seharusnya tidak mendiamkan diri selama ini.

“Adakah Perikatan Nasional (PN) dan Pas baru ‘tersedar daripada lena’ selepas tidak lagi menjadi kerajaan? Sebagai kerajaan yang memerintah pada 2022, PN mempunyai akses kepada maklumat berkaitan urusan negara.

“Apakah alasan mereka berpeluk tubuh pada waktu itu dan menimbulkan perkara ini sekarang?

“Adakah selama 33 bulan, Pas tidak mempunyai 'masa' untuk ‘memahami’ lebih jelas sama ada perkara ini mengancam kedaulatan Islam?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62 dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Kedua-dua individu tersebut memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 18 Seksyen Kesalahan Jenayah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Mujahid berkata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah mengingatkan semua pihak agar menegakkan prinsip undang-undang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang bersifat menghasut.

“Yang Arif Tun Tengku Maimun juga menegaskan bahawa tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini.

“Hormatilah undang-undang dan cukup-cukuplah berpolitik. Perkara berkaitan undang-undang Syariah ini boleh diselesaikan secara berobjektif dan kolektif tanpa perlu menyebarkan fitnah dan menunggang isu agama,” tegasnya.

Semalam, PN menganjurkan Himpunan Selamatkan Syariah yang dihadiri lebih 1,000 orang diikuti solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Perhimpunan itu diadakan bagi membantah tindakan dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

GRACE AISYAH KEDAYAN