KUALA LUMPUR, 16 September - Belanjawan 2026 diharap dapat memperkenalkan semula pemberian rebat pemasangan sistem bawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (Solaris) selain memberi tumpuan kepada usaha menambah baik grid tenaga sedia ada bagi memastikan bekalan tenaga boleh baharu lebih stabil dan mudah diakses.
Pengerusi Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (PINTARE), Aidilf Nordin berkata, langkah itu dapat memperkukuh daya tahan sektor tenaga hijau secara menyeluruh, sekali gus menyumbang kepada matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Selain itu, program sedia ada seperti program Solar Berskala Besar (LSS) dan Pusat Penyelidikan Kecemerlangan Teknologi Hijau (CREST) wajar ditambah baik agar lebih efektif, mesra industri serta mampu menarik minat pelabur.
"Jika kita lihat ketika ini, sambutannya masih sederhana. Jadi, dengan penambahbaikan menyeluruh, program ini bukan sahaja lebih berdaya tahan, malah dapat meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga kepada industri," katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau turut mencadangkan kerajaan untuk mewajibkan pemasangan sistem tenaga boleh baharu di semua premis kerajaan sebagai contoh dalam peralihan tenaga hijau negara.
Malaysia perlu ada penyelarasan undang-undang dan peraturan di peringkat pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan pelaksanaan projek tenaga hijau pada masa depan.
Sebelum ini, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik bawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (Solaris) telah tamat pada 30 April 2025.