fb fb fb fb fb

Sokong Palestin, Ahli Parlimen Malaysia adakan lawatan khas ke Mesir

Foto AFP

PUTRAJAYA, 22 Februari- Wakil ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang termasuk seorang Ahli Dewan Negara sedang mengadakan lawatan khas ke Mesir sejak 21 Februari lalu sehingga 24 Februari ini.

Delegasi terdiri daripada Syed Ibrahim bin Syed Noh (Ledang/ PKR), Ahmad Tarmizi bin Sulaiman (Sik/ PAS), Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy (Kalabakan/ UMNO) dan Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hattta Md. Ramli (AMANAH).

Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, lawatan khas itu bertujuan untuk mempamerkan sokongan penuh Malaysia terhadap isu Palestin.

Delegasi lima ahli Parlimen itu diketuai Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin itu akan mengadakan perbincangan mengenai kerjasama Malaysia dalam membantu rakyat Palestin di Gaza, termasuk keperluan rawatan perubatan di Mesir.

"Delegasi akan mengambil peluang membuat lawatan ke lintasan Rafah-Gaza, di mana bekalan kecemasan dan bantuan kemanusiaan daripada Malaysia disalurkan ke Gaza dengan kerjasama rapat bersama Kerajaan Mesir dan Ops Ihsan," menurut kenyataan tersebut.

Antara program lain termasuk kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Luar Negeri Mesir, Hamdi Loza, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), Dr. Rami Al Nazer dan lawatan ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).

"Acara simbolik penyerahan sumbangan rakyat Malaysia akan diberikan kepada ERC dan PRCS dengan masing-masing berjumlah AS$250,000 dan AS$500,000," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai RM5.6 juta (AS$1.2 juta) telah tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada November dan Disember tahun lalu.

Barangan yang dihantar merangkumi ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan dan bekalan musim sejuk (selimut, khemah dan pakaian).

Bantuan itu berjaya dilaksanakan dengan sumbangan rakyat Malaysia kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM