fb fb fb fb fb

SMK Astana: Kolej Tingkatan Enam pertama di Pahang

(Ahmad Zamri hadir meraikan majlis persaraan Pengetua SMK Astana, Shabariah Mohamad Zakwan)

KUANTAN, 31 Mei- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana di Kuantan, dijangka ditransformasi kepada Kolej Tingkatan Enam pertama di negeri Pahang menjelang kemasukan pelajar bagi sesi 2024-2025 berikutan ia mencapai kriteria telah ditetapkan.

 SMK Astana kini bertaraf Mode 1 iaitu sekolah menengah yang hanya menempatkan pelajar tingakatan enam, salah satu kriteria penting untuk dinaik taraf kepada kolej.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa, sekolah berkenaan sedang melalui beberapa tahap proses teknikal sebelum penjenamaan kepada Kolej Tingkatan Enam dilaksanakan nanti.
 
Tambah beliau, Kolej Tingkatan Enam perlu mempunyai premis dan pentadbiran tersendiri, guru dilantik khas dan persekitaran pengajaran dan pembelajaran prauniversiti yang kondusif sesuai dengan permintaan dan keperluan pelajar.
 
"Sekarang ini kemajuan semakin baik, proses-proses dibuat oleh PPD dengan sekolah. Jadi kita sekarang dalam proses untuk mengesahkan pelaksanaan (transformasi) itu.

"Jadi apabila berlaku, misalnya guru-guru telah disusun dengan baik, murid-murid telah diatur, maksudnya murid tingkatan enam di sekolah berhampiran bila perkara itu selesai insy-Allah boleh berjalan," kata Ahmad Zamri kepada pemberita selepas hadir meraikan majlis persaraan Pengetua SMK Astana, Shabariah Mohamad Zakwan di sini.

Tingkatan Enam Mode 1 mempunyai premis berasingan dengan sekolah arus perdana dan mempunyai pentadbiran tersendiri serta beroperasi dengan sekurang-kurangnya 12 kelas
 
"Saya rasa amat berbangga sebagai pengetua antara terawal mode 1 di daerah Kuantan, dan juga di negeri Pahang. Saya yakin JPN sedang bekerja keras untuk membawa SMK Astana ini menuju ke arah kolej. Perbentangan saya dengan pihak KPM itu hari beberapa kali semuanya berjalan lancar. Hanya tinggal di peringkat hujung untuk mewartakan sahaja," kata Shabariah.
 
Sepanjang lima tahun bertugas sebagai pengetua di SMK Astana, beliau telah memainkan peranan penting dalam usaha menaik taraf sekolah berkenaan kepada Kolej Tingkatan Enam.

(Ahmad Zamri berkata SMK Astana di Kuantan, dijangka ditransformasi kepada Kolej Tingkatan
Enam pertama di negeri Pahang menjelang kemasukan pelajar bagi sesi 2024-2025)

Media Baharu