KUANTAN, 31 Mei - Kementerian Pendidikan (KPM) mensasarkan untuk mencapai nisbah 60:40 pelajar aliran sains tulen berbanding sains sosial, bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dalam merealisasikan hasrat itu, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi menanam rasa minat mengenai subjek itu diperingkat awal kepada anak-anak, supaya subjek itu tidak asing kepada mereka.
Pensyarah Pahang Skills Development Centre (PSDC), Syahrina Zainudin berkata, subjek itu perlu diberi pendedahan lebih untuk menarik minat mereka bereksperimentasi dengan sains.
"Tidak minat sebab mereka rasakan sains itu perkara asing, jadi mereka tidak boleh bayangkan, kita perlu beritahu atau orang kata pendekatan yang mereka boleh rasa mereka boleh pegang, mereka boleh melihat, mereka boleh alami sendiri secara semulajadi perkara yang dia belajar," kata Syahrina di sini.
Selain itu, gologan pendidik juga perlu memperbanyakkan ruang bagi membolehkan pelajar menjalankan amali di makmal serta menggunakan alat bantu mengajar yang lebih kreatif.
"Kita boleh permudahkan daripada segi banyakkan praktikal, apabila kita banyak praktikal dia akan lebih menggalakkan kreativiti pelajar , jadi pemikiran pelajar untuk menyelesaikan masalah itu lebih orang kata, ialah sekarang ini soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) kan jadi dia pun lebih meluas untuk berfikir," katanya lagi.
(Syahrina Zainudin)
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini turut sedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memperkasa dan memupuk minat sains dan teknologi dalam kalangan pelajar.
Inisiatif penubuhan pasukan khas itu adalah bagi menyemai minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi terutama dalam kalangan pelajar luar Bandar, seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.