(Foto hiasan)
BRUSSELS, 31 Mei- Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diperkenal pada 2013 telah mengalami evolusi dan berkembang menjadi skim pensijilan yang komprehensif.
Semakan utama dilaksanakan MSPO adalah tarikh tamat penebangan hutan pada 31 Disember 2019, memenuhi peraturan bebas penebangan hutan Kesatuan Eropah (EU).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha yang dilaksanakan menerusi MSPO jelas membuktikan kemampanan industri sawit negara.
"Kita sekali lagi menegaskan, minyak sawit Malaysia mampan. Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telahpun menjamin komitmen negara terhadap kemampanan dan terus menyediakan kemampanan dan minyak sawit bebas penebangan hutan kepada pelanggan Eropah dan global", katanya.
(Datuk Seri Fadillah Yusof bergambar bersama Wakil Tinggi bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Josep Borrell Fontelles semasa mengadakan mesyuarat rasmi di Pejabat European External Action (EEAS) Brussels Belgium/BERNAMA)
Beliau bercakap pada sesi dialog bersama Ketua Pegawai Eksekutif Industri Minyak Sawit EU.
Sebanyak 30 syarikat besar EU hadir pada sesi dialog tersebut termasuk Unilever, Nestle, P&G dan Ferrero.
Turut hadir Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia Dr Airlangga Hartato.
EU katanya merupakan pasaran yang penting bagi minyak sawit negara dengan jumlah eksport komoditi itu mencecah 1.47 juta tan metrik pada tahun 2022.
Kerajaan Malaysia terus komited memastikan kemampanan industri minyak sawit tempatan melalui pelaksanaan pelbagai langkah seperti menghentikan penanaman pokok di kawasan tanah gambut dan mengharamkan penanaman kelapa sawit di kawasan hutan simpan.
Laporan oleh Wartawan Farahiah Zubir