KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Program Pelanjutan Hayat Kapal (SLEP), penggantian jentera (repowering) dan pasang pulih (refit) terhadap kapal sedia ada merupakan langkah strategik memastikan aset kekal beroperasi pada tahap optimum Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut mampu memanjangkan jangka hayat kapal antara 10 hingga 15 tahun selain meningkatkan kecekapan operasi aset yang telah lama berkhidmat.
"Walaupun sebahagian besar aset kapal Maritim Malaysia telah berusia, ia tetap berupaya melaksanakan tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terpelihara.
"Antara tugas utama yang dilaksanakan termasuk mencegah pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan perdagangan manusia, dadah, rokok serta
barangan bersubsidi, selain membanteras jenayah maritim lain," menurut kenyataan itu.
Maritim Malaysia juga komited mengekang pencerobohan vesel negara asing (VNA) serta memperkukuh kawalan sempadan perairan negara daripada diceroboh oleh penguat kuasa asing.
"Setiap kapal masih menjadi tulang belakang strategi operasi kami seperti keberadaan aset di perairan, kempen kesedaran maritim, tindakan awal bagi sesuatu operasi atau insiden serta kerjasama komuniti maritim," tambah kenyataan itu.
Pendekatan program penyelenggaraan itu dapat mempercepatkan proses kesiapsiagaan kapal untuk kembali beroperasi di lapangan dengan mengambil masa antara 15 hingga 18 bulan, jauh lebih singkat berbanding proses perolehan kapal baharu yang mengambil masa sekurangkurangnya tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.
"Melalui pendekatan ini, Maritim Malaysia dapat memastikan kapal lama kembali beroperasi dengan prestasi lebih baik tanpa perlu menanggung kos besar seperti pembinaan kapal baharu.
"Sebagai contoh, pembaikan kapal kelas offshore patrol vessel (OPV) biasanya memerlukan antara 15 hingga 20 peratus daripada kos pembinaan kapal baharu yang dianggarkan sekitar RM350 juta," menurut kenyataan itu.
Selain fungsi penguatkuasaan undang-undang, kapal-kapal Maritim Malaysia turut berperanan penting dalam usaha menyelamat nyawa serta harta benda di laut.
"Dengan kepakaran teknikal sedia ada, kita mampu mengekalkan kapal berusia supaya terus berfungsi dengan baik dan selamat," tambah kenyataan itu.
Langkah itu merupakan tindakan pintar dan realistik dalam memastikan aset sedia ada terus beroperasi secara optimum.
Ia juga seiring dasar kerajaan yang pengurusan aset secara berhemah, berasaskan nilai pulangan tinggi serta memastikan setiap perbelanjaan memberi manfaat maksimum kepada keselamatan dan kesejahteraan maritim negara.