fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: Sarawak harap sektor pendidikan diberi tumpuan

Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn

LIMBANG, 7 Oktober - Sarawak berharap sektor pendidikan seperti pembinaan sekolah dapat diberi tumpuan dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pad 10 Oktober ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha itu penting bagi memastikan kemudahan sedia ada mencukupi untuk memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan.

"Seperti yang dinyatakan dalam laporan audit, masih terdapat banyak sekolah yang belum dibina walaupun kelulusan telah diberikan sebelum ini. Kita berharap agar semua projek sekolah yang telah diluluskan dapat diteruskan dan tidak digugurkan.

"Pada masa yang sama, kita juga perlu menambah baik kemudahan di semua sekolah, khususnya dalam konteks semasa yang semakin menekankan penggunaan digitalisasi dan teknologi.

"Matlamat kita adalah untuk memastikan kemudahan yang disediakan mencukupi bagi memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan, terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta penubuhan lebih banyak sekolah berorientasikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Di Sarawak, jumlah sekolah seumpama ini masih belum mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Linguisthon (Linguistic Marathon) 2025, Peringkat Negeri Sarawak,anjuran Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai di Dewan Bunga Raya Limbang di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI