SRI AMAN, 7 Oktober - Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) warga emas wanita dari Rumah Rengkang, Lepong Empeliau Ulu yang hilang sejak seminggu lalu, ditamatkan petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan, bagaimanapun operasi itu akan diaktifkan semula sekiranya terdapat penemuan baharu berhubung kes kehilangan tersebut.
"Persetujuan tersebut dicapai hasil perbincangan Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam bersama pihak bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam, tuai rumah dan ahli keluarga wanita terbabit.
"Sepanjang tujuh hari SAR dijalankan, pelbagai kaedah digunakan dalam operasi pencarian termasuk khidmat anjing pengesan K9 serta penerbangan dron," menurut kenyataan itu.
Tumbu Landa, 67 tahun, yang juga orang kurang upaya (OKU) hilang dari rumahnya sejak l30 September lalu.