fb fb fb fb fb

MRSM Kuantan tidak ditutup susulan penularan influenza

MRSM Kuantan

KUANTAN, 7 Oktober - Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di sini tidak ditutup susulan penularan jangkitan influenza seperti yang tular di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Razali Kassim dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat hari ini 114 pelajar disahkan dijangkiti, namun tiada yang dimasukkan ke hospital.

Kes pertama dikesan pada 5 Oktober susulan pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan dan siasatan dijalankan keesokan harinya.

Punca jangkitan dipercayai berpunca daripada pelajar yang pulang ke rumah semasa cuti sekolah pada 13 hingga 21 September lalu, sebelum menular melalui aktiviti harian di asrama dan sekolah.

"Sebagai langkah kawalan, pelajar bergejala diarah berehat di rumah, pengesanan kes dijalankan setiap hari, dan warga sekolah dinasihatkan mendapatkan rawatan segera jika bergejala.

"Pihak sekolah turut membenarkan pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 22 Oktober, manakala pelajar Tingkatan Empat yang dijangkiti kekal di sekolah bagi menduduki peperiksaan di bawah pemantauan PKD Kuantan.

"Pemantauan lanjut diteruskan bagi memastikan penularan influenza di MRSM Kuantan dapat dikawal sepenuhnya," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa MRSM Kuantan ditutup hingga 22 Oktober, namun maklumat itu disahkan tidak benar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI