PUTRAJAYA, 9 Mac- Sejumlah RM2 juta diperuntukkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi membantu lima buah negeri yang terkesan teruk akibat banjir.
Menurut menterinya, Datuk Dr Naim Mokhtar, bantuan akan diagihkan oleh Skuad Musa’adah Madani berupa barangan keperluan asas seperti makanan kering, beras, selimut, toto, kit solat dan sebagainya.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar)
Sebanyak 15 buah kenderaan digerakkan menerusi misi bantuan ini selain dua buah bas dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) juga akan turut serta bagi menyediakan kemudahan klinik dan juga dapur bergerak.
"Kita mengharapkan dengan bantuan yang diberikan oleh agensi-agensi seperti MAIWP sebanyak RM1 juta, JAKIM RM500,000, JAWI RM25,000, Masjid Putra sebanyak RM20,000, YAPIEM RM50,000, YADIM pun RM50,000, jadi sumbangan inilah kita harapkan akan membantu mereka-mereka yang sukar disana dan saya percaya innsyaAllah, bila kita berikan sumbangan ini, Allah akan lebih membuka rezeki bantuan kepada agensi-agensi agama, saya percaya dia akan menimbulkan keyakinan kepada masyarakat untuk memberikan sumbangan kepada
JAKIM dan lain-lain," katanya selepas melepaskan Misi Bantuan Banjir Skuad Musa’adah Madani agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya.
Dalam majlis yang sama, Datuk Dr Naim turut menyampaikan sumbangan cek kepada MAPIM sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih agensi agama kepada NGO yang telah memberikan komitmen jitu dalam menyalurkan bantuan.
Beliau turut mengingatkan semua agensi supaya menjaga integriti dalam menyampaikan bantuan ini supaya tidak berlaku sebarang ketirisan atau penyalahgunaan wang dalam usaha membantu mereka yang terjejas banjir.