KANGAR, 9 Mac- Permohonan pensijilan halal dikalangan syarikat pengusaha makanan di negeri Perlis dijangka terus meningkat menjelang penghujung akhir tahun ini.
Sehingga Februari lalu, sebanyak 57 buah syarikat telah memohon untuk memiliki pensijilan halal daripada Bahagian Penyelidikan dan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail)
Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim, sepanjang tahun lalu sebanyak 51 buah syarikat telah berjaya memiliki pensijilan halal berbanding hanya 33 syarikat sahaja memiliki sijil halal pada tahun 2021.
Ini menunjukkan pemain industri, pengusaha-pengusaha dan peniaga muslim terutamanya bersungguh-sungguh dalam memohon pensijilan halal.
JAIPs dan agensi agama negeri komited untuk memberikan kefahaman keperluan permohonan halal perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Beliau memaklumkannya pada program "Kesedaran Halal: Mudahnya Pensijilan Halal Malaysia” peringkat negeri Perlis di Dewan Warisan, Kangar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan majlis berkenaan dan turut mengurniakan Surat Lantikan Panel Pengesahan Halal Peringkat Negeri Perlis dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada pengusaha industri.
Program ini dianjurkan oleh JAIPs dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).