fb fb fb fb fb

Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) ganti Tabung Bencana Tanaman Padi

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu/Foto RTM

ALOR SETAR, 27 Jun-Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dijangka akan dilancarkan pada bulan September ini bersempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
 
STTP merupakan satu skim yang lebih komprehensif bagi menggantikan Tabung Bencana Tanaman Padi dimana ia akan mengurangkan beban kerugian yang ditanggung akibat bencana alam.
 
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, STTP akan mempertingkatkan kaedah Tabung Bencana Tanaman Padi sedia ada dengan jumlah pampasan lebih tinggi iaitu sehingga RM3,000 bagi setiap hektar semusim berbanding maksimum RM1,800 bagi setiap hektar semusim.
 
Beliau berkata, skim berkenaan sedang diperhalusi di peringkat Bank Negara Malaysia menerusi Bank Pertanian Malaysia (Agro Bank) sebelum ia boleh dikuatkuasakan.
 
Bagi Kawasan Muda pula, KPKM menjangkakan bahawa STTP akan dapat dimanfaatkan oleh seluruh pesawah-pesawah MADA pada Musim 2/2024 selepas skim ini dilancarkan pada bulan September ini.
 
"Kalau Bank Negara telah meluluskan maka kita akan laksanakan skim ini di mana para petani akan lebih terjamin dari sudut bila berlaku bencana.

"Macam sekarang bencana tahun lepas prosesnya baru sekarang dapat tapi kalau dengan sistem baharu ini selepas bencana tu ertinya dia boleh dapat dengan segera", katanya kepada pemberita selepas merasmikan program MADA Day 2024 di Ibu pejabat MADA Ampang Jajar di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Mohamad berkata, kementeriannya telah meluluskan peruntukan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM3.28 juta kepada 2, 546 orang peladang-peladang MADA yang terkesan dan terjejas akibat bencana banjir di Kawasan Muda pada bulan Ogos dan September 2023 yang lalu.
 
Ia menyebabkan kerosakan melibatkan kawasan seluas 3,276.40 hektar.
 
Tambahnya,daripada jumlah keseluruhan bantuan, RM59,544 diperuntukkan kepada 35 orang peladang di kawasan MADA Wilayah I Perlis; RM705,912 kepada 566 orang peladang di kawasan Wilayah II Jitra; RM1.8 juta kepada 1,156 orang peladang di kawasan MADA Wilayah III Pendang dan RM715,000 kepada 789 peladang di Kawasan Wilayah Empat, Kota Sarang Semut.
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD