fb fb fb fb fb

Skim perlindungan takaful agromakanan, bantu komuniti terjejas pendapatan

(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR, 28 Mac - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang dalam proses mewujudkan Skim Perlindungan Takaful Agromakanan dengan kerjasama pihak Agrobank.

Jelas Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee, ia dibangunkan bagi membantu komuniti agromakanan yang terjejas pendapatan mereka akibat bencana alam,perubahan iklim dan serangan wabak penyakit.

Selain itu, pihaknya turut melaksana beberapa strategi dan insiatif lain bagi menangani fenomena perubahan iklim yang memberi kesan kepada para petani dan penternak.

Antaranya termasuklah menggalakkan penggunaan kaedah teknologi berasaskan iklim dan mempergiatkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan Inovasi dalam amalan pertanian alternatif.

(Datuk Seri Ronald Kiandee ketika menjawab soalan Senator Nelson Renganathan
pada sesi soal jawab lisan di Parlimen)

"Dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim, MAFI telah membangunkan dasar baharu negara melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 atau DAN 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

"Antara lain, sedang mempergiatkan aktiviti pertanian mampan yang mesra alam dan berdaya tahan terhadap iklim bagi meminimumkan impak perubahan iklim terhadap sektor agromakanan melalui tiga ciri utama iaitu kemampanan, berdaya tahan dan berpacukan kemajuan teknologi," katanya ketika menjawab soalan Senator Nelson Renganathan pada sesi soal jawab lisan di Parlimen.

Tambahnya, pihaknya juga sentiasa berkerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan strategi tersebut adalah seiring dengan dasar perubahan iklim di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam perkembangan lain,MAFI turut akan menubuhkan Lembaga Ruminan Negara (LRN) yang dijangka beroperasi secara berfasa mulai tahun ini.

Ronald berkata, LRN akan menyokong Pelan Strategik dan Tindakan Pembangunan Industri Pedaging Negara 2021-2025 serta Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 bagi memacu pertumbuhan industri makanan negara.

(Gambar Fail)

"LRN akan menyokong Pelan Strategik dan Tindakan Pembangunan Industri Pedaging Negara (Bif Plan) 2021-2025 serta Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara (Dairy Plan) 2021-2025 bagi memacu pertumbuhan industri ruminan secara bersasar dan meningkatkan SSL daging lembu kepada 50% dan SSL susu segar kepada 100% menjelang tahun 2025," katanya.

Pada tahun 2021, import makanan mencatat nilai RM63.6 bilion berbanding RM55.4 bilion pada tahun sebelumnya bagi memastikan bekalan makanan domestik terjamin dan memenuhi keperluan industri tempatan.

Perangkaan tersebut meliputi keperluan 30 peratus beras dan 70 peratus daging dari sumber import.

Media Baharu