
PUTRAJAYA, 11 Mac – Skim Pengembara di bawah PERKESO diperkenalkan bagi melindungi rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura, bertujuan mendapatkan perlindungan keselamatan sosial.
- Kementerian terima kertas cadangan dan komited melaksana inisiatif itu selewat-lewatnya minggu hadapan.
- Crash Programme KESUMA 2026 bertujuan mewujudkan jaringan keselamatan sosial lebih komprehensif dan dinamik.
- Fokus transformasi termasuk Akta Pekerja Gig 2025, Mahkamah Buruh Bergerak, perlindungan cuti bersalin dan Pusat Rehabilitasi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, skim itu dirangka khusus bagi memastikan golongan pekerja yang selama ini tidak mempunyai sebarang skim perlindungan mendapat pembelaan sewajarnya sekiranya berlaku kemalangan atau musibah ketika bertugas.
“Ia melibatkan kira-kira 400,000 pekerja, bukan 400 orang. Seramai 400,000 pekerja ini tidak mempunyai skim perlindungan.
“Justeru, sekiranya berlaku sesuatu ketika mereka pergi atau pulang dari tempat kerja, timbul persoalan siapa yang akan menjaga kebajikan mereka, keluarga, anak-anak serta ibu bapa mereka. Sebab itu perlindungan ini amat penting,” katanya demikian ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Mac 2026 dan Majlis Berbuka Puasa KESUMA yang berlangsung di Menara PERKESO, hari ini.
Beliau turut memaklumkan kementerian telah menerima kertas cadangan daripada PERKESO dan komited untuk melaksanakannya selewat-lewatnya minggu hadapan.
Perlindungan itu merangkumi pekerja sektor perkhidmatan, industri, dan pelbagai sektor lain yang melibatkan komuniti pekerja Malaysia. Ia juga sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan prinsip tiada siapa yang terpinggir tanpa mengira bangsa, golongan, mahupun sektor pekerjaan.
Inisiatif tersebut merupakan salah satu dari agenda utama di bawah Crash Programme KESUMA 2026 bagi memastikan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif dan dinamik buat tenaga kerja tempatan.
Selain Skim Pengembara, KESUMA turut memfokuskan kepada transformasi perlindungan pekerja melalui Akta Pekerja Gig 2025, Pelaksanaan Mahkamah Buruh Bergerak, Perlindungan Wanita bagi elaun bantuan cuti bersalin di bawah sistem insurans PERKESO dan Pusat Rehabilitasi PERKESO.
Langkah drastik tersebut diambil bagi memastikan KESUMA terus progresif dalam menjaga kebajikan pekerja secara holistik bagi berdepan dengan cabaran ekonomi masa kini.