KUALA LUMPUR, 24 Mei - Seramai 3,787 bilangan pelatih menerima manfaat menerusi Skim Latihan Industri yang dilaksana Kementerian Sumber Manusia dari Januari hingga April 2023.
Timbalan Menteri, Mustapha Sakmud berkata, jumlah itu melibatkan bantuan kewangan RM7.42 juta.
Pelaksanaan insentif itu telah membantu pelajar menjalani latihan industri dengan pelbagai syarikat; seterusnya mendedahkan mereka dengan alam pekerjaan.
Turut dilaksanakan Inisiatif Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP).
"Kriteria pelaksanaan MySIP menetapkan latihan industri adalah sekurang-kurangnya selama 10 minggu dan pelatih industri dibayar elaun bulanan minima sebanyak RM500.00 sebulan bagi pelatih industri SKM-1 hingga SKM-4, dan minima RM600.00 bagi SKM-5 Diploma, Sarjana Muda, sarjana dan Sarjana Kedoktoran (PHD).
"Di pihak syarikat, inisiatif MySIP ini memberikan pelepasan cukai berganda ke atas elaun bulanan yang dibayar kepada pelatih industri, dan pelepasan cukai sehingga RM5,000 kepada pelatih industri," katanya menjawab pertanyaan wakil Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.
Pada tahun lalu, lebih 700 syarikat menerima manfaat daripada insentif tersebut termasuk Petronas.
Berdasarkan Laporan Trend MySIP 2022, sebanyak 33 peratus daripada pelatih industri mendapat tawaran pekerjaan pertama di syarikat mereka selepas menjalani latihan industri.
(Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud)