fb fb fb fb fb

Skim khas bakal diwujudkan bantu usahawan dalam talian

SHAH ALAM, 3 Ogos- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menyediakan satu skim khas untuk golongan usahawan dalam talian mengembangkan perniagaan mereka.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya akan mencadangkan perkara itu dalam belanjawan akan datang.

"Kita harap dalam bajet yang akan datang, kita akan cuba cadangkan juga kepada kerajaan supaya mewujudkan satu skim khas seperti SPIM.

"SPIM kita untuk Skim Pinjaman Informal dan Mikro. Kita harap ada satu skim khas untuk usahawan dalam talian", katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2022.


(Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar)

Penyediaan skim tersebut turut membantu terutamanya generasi muda yang cenderung kepada perniagaan secara dalam talian.

Jelasnya, skim tersebut akan mengutamakan peserta program ini selain akan dibuka kepada usahawan dalam talian lain yang berminat.

“Keutamaan akan diberikan kepada lebih 2,000 peserta yang telah mengikuti kursus tersebut (Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil) untuk menjadi kumpulan pertama yang menerima skim itu di bawah agensinya,” katanya.

Berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dalam tempoh antara 1 Mac hingga 31 Oktober 2020, sebanyak 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan di bawah SSM bagi kategori perniagaan dalam talian.

Media Baharu