fb fb fb fb fb

Skim kecederaan lindungi pekerja di luar waktu pejabat akan diperkenal

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 September- Kerajaan akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan bagi memastikan pekerja terus dilindungi walaupun di luar waktu pejabat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim itu penting bagi memperluas perlindungan sosial sepanjang masa memandangkan kemalangan dan kecederaan boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Kerajaan akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan bagi memastikan pekerja dilindungi bukan sahaja semasa waktu bekerja tetapi juga di luar waktu kerja.

"Langkah ini berpunca daripada kesedaran bahawa tekanan kerja tidak berhenti di pintu kilang atau pintu pejabat," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. 

Perdana Menteri juga menyifatkan inisiatif itu sebagai satu langkah penting dalam menghadapi realiti negara menuju ke arah masyarakat menua.

Katanya, menjelang 2030, seorang daripada setiap tujuh rakyat Malaysia dijangka berusia lebih 60 tahun, satu perubahan ketara yang akan memberi kesan mendalam kepada struktur sosial negara.

SITI AISHAH BINTI MD ISA