LABUAN, 29 September - Inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) pada kadar RM1.99 seliter terus mendapat reaksi positif daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan anggota keselamatan di kepulauan ini.
Dalam tinjauan RTM di beberapa stesen minyak, golongan pertama yang menikmati manfaat itu menyifatkan sebagai langkah membantu meringankan beban kos sara hidup harian mereka.
Lans Koperal Muhammad Faiz Jamal Huri berkata penurunan harga petrol itu memberi kelegaan besar kepada anggota polis yang bergantung kepada motosikal untuk tugasan rondaan setiap hari.
“Sebagai anggota polis, BUDI95 sangat bermakna. Manfaatnya besar kepada kami yang menggunakan motosikal setiap hari untuk bertugas,” katanya.
Konstabel Nirshafuanieza Aqmar turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan kerana inisiatif berkenaan membantu mengurangkan kos mengisi minyak.
“Dengan bantuan ini, beban kami berkurangan. Terima kasih kepada kerajaan MADANI kerana sentiasa prihatin,” katanya.
Seorang penghantar makanan, Usuludin Syafizan Yunus, berkata beliau dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan yang sebelum ini mencecah antara RM200 hingga RM300 untuk petrol.
“Sehari biasanya isi minyak dua kali. Dengan kerja lebih 10 jam sehari, penjimatan ini sangat penting untuk kami penghantar makanan,” katanya.
Penerima STR lain, Yusuf Arun, turut berkongsi manfaat yang dirasainya sejak mengisi minyak menggunakan kadar subsidi tersebut.
“Daripada segi liter, ada kelebihan berbanding biasa. Ia memang menjimatkan, terima kasih kepada kerajaan memberi subsidi kepada rakyat,” katanya.
Semalam, anggota tentera dan polis yang menjadi golongan pertama menikmati subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95, hari ini peluang sama turut dinikmati lebih lima juta penerima STR kategori B40.
BUDI95 akan dilaksanakan sepenuhnya pada 30 September ini, melibatkan sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595.