(Datuk Seri Amirudin berkata Projek merangkumi empat fasa itu juga bertujuan memastikan
bekalan air mentah mencukupi ketika musim kemarau)
KUALA SELANGOR, 18 Mei- Projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) yang dibangunkan bagi menangani masalah gangguan bekalan air dijangka beroperasi awal tahun depan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Projek yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri itu 51% siap setakat 30 April lalu.
"Kalau projek ini insya-Allah kalau ikut jadual bulan 10, tapi kita akan tengok juga sebab dia akan melibatkan ujian, simulasi dan sebagainya. Jadi harapnya menjelang tahun depan semuanya berjalan baik. Tapi kita akan cuba cepatkan sebaik mungkin. Saya juga akan pantau projek ini dari masa ke masa untuk pastikan tiada lagi kelewatan untuk elak sebarang risiko henti tugas gangguan bekalan akibat pencemaran," kata Amirudin kepada media di sini.
Melibatkan kos RM320 juta, SJAM mampu menampung keperluan 1.6 juta akaun melibatkan 7 juta pengguna di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya.
Projek merangkumi empat fasa itu juga bertujuan memastikan bekalan air mentah mencukupi ketika musim kemarau.
(Datuk Seri Amirudin berkata Projek yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri itu 51% siap
setakat 30 April lalu)