(Datuk Seri Saifuddin berkata semua ahli politik sebaliknya diminta agar tidak
membelakangkan fakta sebenar berhubung isu itu)
PUTRAJAYA, 18 Mei- Jangan polemikkan isu penggunaan kalimah Allah demi kepentingan politik semata-mata.
Semua ahli politik sebaliknya diminta agar tidak membelakangkan fakta sebenar berhubung isu itu, serta berhenti menjadikannya 'modal politik' untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, terdapat percanggahan arahan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN), dengan keputusan Kabinet yang berlaku pada tahun 1986.
Sehubungan itu, formula penyelesaiannya perlu dikaji dan dikawal selia secara komprehensif sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Semua pihak diminta bertenang dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu tersebut dalam masa terdekat, mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.
"Itulah yang menjadi pertikaian utama. Apabila ada percanggahan, berdasar fakta kes, tindakan pihak berkuasa menahan dan menyekat bahan penerbitan itu yang mengandungi kalimah itu dikatakan tidak mengikut undang-undang.
Jadi, oleh itu menimbulkan reaksi yang pelbagai. Hakikatnya mahkamah tidak pernah memutuskan perkara mengenai dengan aspek teologi, aspek agama, seumpama kebenaran mengguna kalimah Allah oleh Jill Ireland," kata Saifuddin selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 dan Majlis Pesaraan Tahun 2023 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
(Datuk Seri Saifuddin Nasution menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang dan Persaraan Jabatan Pendaftaran Negara di Puspanitapuri/BERNAMA)